Apa Yang Kita Harus Lakukan?

Blog ini khas untuk memaparkan 10 isu-isu yang dianggap penting dan terbaik untuk dikaji dan dinilai pada setiap bulan agar dapat membuka mata masyarakat khususnya pengamal-pengamal sukan untuk memikirkan bersama kaedah dan pendekatan terbaik mengatasi masalah-masalah yang dihadapi demi membangunkan dan memperbaiki mutu sukan negara

Tuesday, December 8, 2009

Pilihan Yang Mereka Harus Pilih Iaitu Antara Ganjaran & Semangat Cintakan Negara

Berita Harian, 8 Dis 2009

Sasaran Kata: Kejayaan suntik semangat di Laos
Oleh Norbakti Alias

Mew Choo, beregu wanita jadi sandaran negara raih emas acara badminton

TAHNIAH buat Lee Chong Wei, Wong Mew Choo dan gandingan wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang berjaya menjuarai acara masing-masing di Grand Prix (GP) Siri Super Dunia yang berakhir di Johor Bahru, kelmarin.

Pasti kejayaan itu menjadi penyuntik semangat dalam mengharungi cabaran di Sukan Sea iaitu kejohanan utama terakhir buat mereka, tahun ini.

Penulis juga percaya biarpun ganjaran untuk pingat emas di Sukan Sea jauh lebih rendah daripada hadiah kemenangan diperolehi mereka di GP itu, namun misi pemain tetap sama - mengharumkan nama mereka di pentas antarabangsa.

Malah, tindakan Chong Wei, yang menarik diri daripada Sukan Sea, mencium bendera kecil Malaysia di bajunya selepas kejayaan menundukkan Park Sung-hwan, cukup menceritakan segalanya. Kejayaannya adalah juga kejayaan Malaysia.

Biarpun dibayangi kontroversi pembayaran wang kemenangan daripada kejohanan sama di Kota Kinabalu tahun lalu yang belum diterima pemain negara daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kumpulan pemain ini tetap fokus kerana misi mereka hanya untuk kemenangan.

Mungkin dalam fikiran pemain, masih terdetik masalah yang sama akan berlaku, tapi demi tanggungjawab, mereka tetap memberi yang terbaik di gelanggang.

Kenapa penulis katakan mungkin perkara itu masih terdetik pada fikiran pemain? Segalanya nampak kurang konkrit daripada BAM dalam urusan awal mahu mengendalikan kejohanan penutup tirai sirkit Siri Super itu.

Pada awalnya, Kuala Terengganu dipilih menganjurkan kejohanan itu dan ia turut diumumkan Timbalan Presiden Persekutuan Badminton Dunia, Paisarn Rangsikitpho, namun selang beberapa hari Johor Bahru pula menjadi pilihan.

Penulis difahamkan pemilihan awal Kuala Terengganu itu ditentukan hanya oleh seorang pegawai kanan BAM sahaja tanpa memeriksa kemudahan serta tidak merujuk kepada badan induk kebangsaan itu sendiri.

Namun, hanya selepas menyedari banyak masalah, termasuk gelanggang yang dikatakan masih belum mendapat sijil layak menduduki, menyebabkan keputusan awal ditarik balik dan Johor Bahru dipilih.

Begitupun jelas, pemilihan gelanggang baru itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehadiran penonton di mana dari hari pertama hingga final, jelas tempat duduk banyak yang kosong.

Ini adalah tahun keempat bandar raya itu menganjurkan kejohanan badminton antarabangsa di mana tiga tahun berturut-turut untuk Kejohanan Asia, manakala tahun ini sahaja dua pertandingan - GP Emas dan terbaru GP Siri Super.

Sebenarnya, di kalangan pemerhati dan pegawai BAM sendiri, sudah nampak ada yang mula tidak kena dalam persatuan itu apabila pegawai yang bertanggungjawab nampak sudah hilang fokus.

Penyakit lama sudah nampak berulang, dengan lebih banyak menabur janji atau 'lip service' sahaja tapi hakikatnya, kerja tak ke mana kerana orang yang bertanggungjawab tidak fokus dan membiarkan terlalu banyak perkara bermain dalam fikirannya.

Penulis khuatir BAM akan kembali melalui zaman gelapnya di mana ada pegawai yang terlalu berkuasa mahu membuat keputusan sendiri, bukannya membahagikan kerja bagi meringankan beban tugas mereka. Kini, hanya masa sahaja yang bakal menentukan semua itu.

No comments:

Post a Comment